Wednesday, August 18, 2010

sejarah

Peringkat Awal Penubuhan
Dengan bertambahnya sekolah-sekolah kebangsaan di kawasan ini maka kewujudan sebuah sekolah menengah adalah amat diperlukan. Pada awal tahun 1969 , kerja-kerja pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Gelugor dimulai di atas satu kawasan seluas 4.8 hektar, di belakang Pusat Kesihatan Tasek Gelugor dan bersebelahan dengan Sekolah Kebangsaan Tasek Gelugor. Pada peringkat awal, dibina dua blok bangunan dua tingkat dan sebuah kantin serta padang permainan dan siap dibina pada akhir tahun 1970.

Pada bulan Januari 1971, Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Gelugor mula dibuka dengan menerima pelajar di sekitar Tasek Gelugor untuk persekolahan tingkatan satu dan dua dalam aliran Melayu dan ‘remove class’, ‘form one’ dan ‘form two’ dalam aliran Inggeris. Terdapat 10 buah kelas yang menampung 341 orang murid dan 15 orang guru dan 4 orang pekerja. Guru Besar (sekarang Pengetua) pertama ialah Encik Wan Din bin Wan Abdul Rahim dan Penolong Kanan ialah Encik Ahmad bin Rejab, kerani Miss Chong dengan dibantu oleh pekerja am Encik Zainon bin Abu Bakar, Encik Ali bin Lazim dan kemudian Encik Mohd Talib bin Shariff. Dua bangunan yang ada ketika itu ialah bangunan Marikh dan Musytari.

Nama Sekolah
Pada peringkat awal , sekolah ini dinamakan Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Gelugor tetapi kemudiannya diubah kepada satu nama lain.Satu mesyuarat penting diadakan antara Guru Besar, En Wan Din bin Wan Abdul Rahim dengan Ahli Jawatankuasa dan Pengerusi Jemaah Tadbir , En Mohamad Idris pada tahun 1978 telah bersetuju menukarkan nama sekolah ini kepada Sekolah Menengah Bakti. Dengan demikian nama sekolah ini dikenali dengan nama Sekolah Menengah Bakti mulai tahun 1978. Lencana sekolah telah dicipta oleh Cikgu Shuib Talib pada tahun 1971, yang menggunakan warna merah, kuning dan hijau di samping motto ’Progresif dan Produktif’. Bendera sekolah kemudiannya dicipta pada tahun 1972 dengan berdasarkan warna merah, hijau dan kuning serta lencana sekolah di tengahnya. Pada awal tahun 1977 telah dicipta pula lagu sekolah oleh Cikgu Ibrahim bin Ahmad. Senikata lagu ditulis oleh Cikgu Wan Din bin Wan Abd Rahim dan Cikgu Rasdy bin Haji Ismail. Lagu ini juga menggunakan moto progresif dan produktif serta warna sekolah. Sehingga kini lagu sekolah dinyanyikan pada setiap kali diadakan perhimpunan sekolah. Mulai tahun 1996, misi sekolah iaitu ’Bersatu Menuju Kecemerlangan” manakala visi sekolah adalah untuk melahirkan warga bakti yang kreatif, inovatif, berketrampailan dan berakhlak mulia”.

Perkembangan Tingkatan dan Aliran
Pada peringkat awal penubuhan sekolah ini, murid-murid yang memulakan pembelajaran datangya dari sekolah –sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan di sekitar kawasan Tasek Gelugor. Pada tahun 1971, terdapat 2 ’remove class’ , 2 kelas ’Form One’ 2 kelas ”Form Two” dalam aliran Inggeris dan 3 kelas tingkatan satu dan 1 kelas tingkatan 2 dalam aliran Melayu.Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran dan Lower Ceritficate of Education telah diadakan buat pertama kali di sekolah ini pada tahun 1973 terpaksa melanjutkan pelajaran mereka di Sekolah Datuk Haji Ahmad Badawi di Kepala Batas dan sekolah-sekolah di Butterworh dan Bukit Mertajam. Pertambahan murid yang pesat mulai tahun 1972 dan selepasnya dan kekurangan bilik darjah untuk menampung pertambahan itu menyebabkan diadakan dua sesi persekolahan. Sesi petang persekolahan dimulakan pada tahun 1975 dan Cikgu Ahmad bin Rejab dilantik sebagai Penyelia Petang yang pertama. Pembinaan dua buah bangunan empat tingkat yang telah digunakan pada tahun 2003 dan pembukaan dua buah sekolah menengah di kawasan Tasek Gelugor iaitu SMK Kg Selamat dan SMK Pokok Sena telah mengurang sedikit kesesakan di sekolah ini. Pada tahun 1979 bermulalah era perkembangan sekolah dengan pembukaan kelas Tingkatan Empat di sekolah ini. Tiga kelas Tingkatan empat aliran sastera dan satu kelas Tingkatan Empat aliran sains menjadi kelas perintis menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun berikutnya dengan calon seramai 147 orang.

Pelajar-pelajar yang berjaya telah menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam pada tahun 1981 ke sekolah–sekolah di Butterworth dan Bukit Mertajam. Mulai tahun 1986 lepasan SPM ini disalurkan ke Tingkatan Enam Sekolah Datuk Haji Ahmad Badawi di Kepala Batas. Pertambahan bilangan pelajar di kawasan Tasek Gelugor yang layak menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam menyebabkan pihak pentadbiran mengambil inisiatif membuka dua kelas Tingkatan Enam iaitu aliran Geografi dan Ekonomi pada tahun 2004. Seramai 43 calon menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia pada tahun 2005. Pada tahun 2006, seramai 85 orang guru dan 1340 orang pelajar yang ada di sekolah ini.

Pembinaan Bangunan
Pertambahan pesat murid-murid dari tahun 1975 tidak dapat ditampung oleh dua blok bangunan yang sedia ada. Bilangan murid dalam setiap kelas mencapai angka purata 43 orang pada tahun 1975. Satu blok bangunan mengandungi bengkel kayu, bengkel elektrik dan bengkel motor untuk mata pelajaran Seni Perusahaan telah dibina dan mula digunakan pada tahun 1974. Di hujung padang, dibina satu kolam bagi projek pembiakan ikan untuk mata pelajaran Sains Pertanian. Pada tahun 1976 satu blok bangunan mengandungi tiga makmal Sains Tulen dan enam bilik darjah siap dibina dan mula digunakan. Satu lagi blok bangunan mengandungi tujuh bilik darjah dan sebuah studio untuk Pendidikan Seni telah dibina dan mula digunakan pada tahun 1973.

Seterusnya, pada akhir tahun 1983 dua lagi blok bangunan pasang siap mengandungi enam bilik darjah mula dibina dan dapat digunakan pada awal tahun 1984.

Pada akhir tahun 1989, kawasan kantin diperbesarkan dua kali ganda untuk mewujudkan keadaan yang kondusif kepada guru dan murid. Sebuah surau juga telah dibina dan mula digunakan pada petengahan tahun 1990 atas bantuan projek dari YB Tuan Haji Yusof bin Latif, ahli Parlimen Kawasan Tasek Gelugor ketika itu. Sebuah bangunan empat tingkat mengandungi 11 bilik darjah yang terbengkalai selama tiga tahun dapat disiapkan dan mula digunakan pada pertengahan tahun 1990.

Pada tahun 2001, dua buah bangunan empat tingkat yang menempatkan pejabat, bilik mesyuarat, makmal komputer, makmal sains, makmal bahasa dan bilik darjah mula dibina. Sebuah surau dan dua buah asrama turut dibina untuk memberi kemudahan tempat tinggal kepada pelajar-pelajar yang tinggal jauh dari sekolah. Semua kemudahan ini siap dan dapat digunakan pada tahun 2003.